Ahad, 5 Oktober 2008

Fadilat Puasa 6 Hari Dalam Bulan Syawal

Berpuasa enam Syawal sunnah hukumnya dan diberi pahala yang besar.

Puasa Sunnah Enam, Apakah Boleh Didahulukan Jika Ada Puasa Qada (Mengqada Puasa Ramadan)?

Syeikh Utaimin rahimahullah berkata: “Ini adalah suatu persoalan yang perlu dijelaskan, iaitu bahawa puasa enam (di bulan Syawal) tidak boleh didahulukan dari mengqada puasa fardu Ramadan yang tertinggal. Jika ada yang tertinggal puasa Ramadan, kemudian melakukan puasa enam sebagai sunnah mutlak, ia tidak memperolehi sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi di dalam hadisnya (Lihat: Syarah Al-Mumti’ (6/448)):


مَنْ تَطَوَّعَ وَعَلَيْهِ مِنْ رَمَضَانَ شَيْءٌ لَمْ يَقْضِهِ فَاِنَّهُ لاَ يُتَقَبَّلُ مِنْهُ حَتَّى يَصُوْمَهُ


“Barangsiapa yang mengerjakan puasa sunnah sedangkan ia mempunyai hutang (qada’) Ramadan yang belum ditunaikan, maka puasa sunnahnya tidak diterima sampai ia membayarnya (mengqada’nya). (Lihat: Al-Mugni. 4/401)


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالَ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.


“Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan, lalu ia mengiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seakan-akan ia telah berpuasa setahun”.

Oleh kerana hadis ini menetapkan: (Barangsiapa yang berpuasa Ramadan) adalah jelas. Sebahagian ahli ilmu ada yang berbeza pendapat tentang sahnya melakukan puasa sunnah sebelum mangqada’ puasa wajib. Namun masalah ini tidak berlaku khasnya kepada perkara ini, kerana hadis ini menyatakan dengan jelas tidak ada puasa enam hari kecuali setelah mengqada’ puasa Ramadan”. (Lihat: Al-Mugni. 4/401)

Perbezaan Pendapat Tentang Puasa Enam Syawal

Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad tidak menganggap sunnah puasa enam hari di bulan Syawal. Namun ini diingkari (dibantah) oleh al-Hafiz Asy-Syaukani, beliau mengatakan:

“Mereka berhujjah bahawa mungkin (puasa enam hari Syawal) akan dianggap sebagai puasa yang wajib. Ini adalah pendapat yang batil yang tidak pantas dikeluarkan oleh orang yang memiliki akal fikiran, apalagi seorang ulama seperti mereka dalam menentang sunnah yang sahih dan jelas. Malah pendapat seperti ini akan berlaku pula pada semua puasa yang dianjurkan oleh agama dan tidak seorangpun yang mengatakan demikian. Sementara Imam Malik berhujjah dalam memakruhkannya sebagaimana yang beliau katakan di dalam Al-Muwata’: Bahawa beliau tidak pernah melihat seorangpun dari kalangan ulama yang mengerjakan puasa enam hari Syawal. Sedangkan perlu dijelaskan bahawa jika ia tidak melihat seseorang melakukan sesuatu sunnah, maka tidak bererti pendangannya boleh menolak sunnah”. (Lihat: Nailul Autar (4/282))

Pendapat Yang Rajih (Lebih Sahih Dan Kuat)

Namun pendapat yang lebih rajih ialah hadis Aisyah radiallahu ‘anha bahawa beliau mengqada’ puasanya di bulan Syaban dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam membenarkannya:


ِكَانَ يَكُوْنُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيْعُ أَنْ أَقْضِيَهُ اِلاَّ فِى شَعْبَانَ


“Dahulu aku mempunyai hutang puasa Ramadan, maka aku tidak mampu mengqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban”. (H/R Bukhari l950. Muslim 1146)

Maka dibolehkan berpuasa sunnah sebelum mengqada’ puasa wajib yang tertingggal. Kewajipan mengqada’ puasa tidak dibatasi oleh waktu-waktu tertentu. (Lihat: Bada’ As-Sanai’ 2/104. (rujuk pendapat al-kasani))

Menurut Imam An-Nawawi: Mazhab Maliki, Abu Hanifah, As-Syafie, Ahmad dan Jumhur Ulama Salaf dan Khalaf, bahawa mengqada’ puasa Ramadan bagi orang yang meninggalkannya kerana uzur seperti disebabkan haid atau dalam musafir, maka tidak disyaratkan mengqada’nya dengan segera setelah mampu melakukannya, (Lihat: Syarah Muslim. 3/213. An-Nawawi) kerana keumuman Firman Allah Azza wa-Jalla:


فَعِدَّةٌ مِنْ أيَّامٍ أُخَرُ يُرِيْدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ


“berpuasalah dihari-hari yang lain, Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusasah bagi kamu”. (al-Baqarah 2: 185)

Menurut Imam Qurtubi rahimahullah: “Ayat ini menunjukkan wajibnya mengqada’ puasa tanpa ditentukan harinya, kerana lafaz ayat tersebut berlaku sepanjang masa tanpa ditentukan pada masa-masa tertantu”. (Lihat: al-Jami Li Ahkam Al-Quran 2/282. al-Qurtubi)

Syeikul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah setelah mengingkari pendapat Imam Ahmad rahimahullah yang memakruhkan puasa enam hari Syawal, maka Ibn Taimiyah berkata: “Apabila dilakukan di akhir Ramadan, maka antara keduanya telah terpisah oleh Hari Raya. Dan larangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berkenaan puasa di Hari Raya menunjukkan bahawa larangan tersebut khusus jika dikerjakan pada hari itu sahaja, sedangkan di hari-hari setelahnya adalah hari yang dibolehkan dan diizinkan untuk berpuasa. Jelasnya jika baginda mahu melarang dari puasa enam hari Syawal, pasti baginda akan menegahnya sebagaimana baginda menegah berpuasa diawal bulan Ramadan (Lihat: Syarah Al-Umdah (2/559)):


لاَ تُقَدِّمُوْا رَمَضَانَ بِصَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ.


Janganlah kamu mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya”. (Rujuk: Sahih Bukhari hadis no: 1914, Sahih Muslim, hadis no: 2514)

1 ulasan:

Tam1121 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.