Ahad, 28 Mac 2010

Ingatan Buat Rasulullah S.A.W

Rasulullah Sallallahu alayhi wa alihi wassalam meninggalkan untuk kita, kalam Allah yang berupa mukjizat serta sunnah yang jelas. Dengannya kita mampu memandu diri dan manusia untuk mengendalikan kehidupan menurut gaya dan matlamat yang diredhai Allah.

Kedua-duanya jika dijadikan panduan dan pedoman sepanjang kehidupan, nescaya hilang kesedihan dan ketakutan. Keduanya bakal menjauh kerana kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Dunia dan isinya tidak lagi mampu mendapat tempat untuk perasaan itu. Tatkala itu, hidup dipenuhi rahmat Allah dan ketenangan hakiki.

MASALAH DAN KESENANGAN

Segala masalah duniawi bakal terasa begitu kerdil, masalah berkaitan dunia yang sering menekan jiwa pasti mampu diselesai. Namun kekuatan tidak akan mendatang tanpa latihan dan kesukaran memperolehinya. Namun hasilnya adalah satu hati yang dilindungi oleh ketaqwaan dan keimanan yang tulus. Sukar diganggu sugat oleh dunia yang sementara.

Segala jenis kesusahan di dunia akan jelas terlihat sebagai ujian penghampir diri kepada Allah, lalu ia sabar.

Kesenangan duniawi pula diyakini sebagai sebuah dugaan, penguji tahap sedar dan peka keimanan seseorang terhadap tanggungjawab selaku hamba Allah dan umat Muhammad s.a.w, lalu ia bersyukur dan menunaikan hak yang sewajarnya.

KELEMAHAN KAMI

Ya Rasulullah, kami bersaksi, sesungguhnya kamu telah menyampaikan risalah yang dipertanggungjawabkan ke atasmu oleh Allah ta'ala.

Kini giliran kami menanggungnya dan mengamalkannya, sebagai bukti kami umatmu dan hamba Allah yang tulen serta taat.

Namun akibat semua tidak mampu dicapai dek pancaindera fizikal, terlalu banyak culas dan lemahnya kami. Dosa kerap menjelma dalam kehidupan, hingga laranganmu kerap dilanggari, walau dalam sedar ia sebuah dosa. Anjuranmu pula selalu gagal dipenuhi, sedang kami bercita-cita menjadi insan yang paling hampir denganmu di akhirat kelak. Layakkah kami?

Ya Allah, jangan biarkan dosa yang kami lakukan, tidak lagi terasa gentar dengan azabmu, jangan dihilangkan rasa kesal dari jiwa kami, hingga tiada lagi debaran iman dijiwa dan hati kami.

Kami berusaha mengiringi segala kesilapan dengan taubat, istighfar dan gunungan harapan agar Allah menerima taubat hambaNya yang lemah seperti kami, serentak itu, kami juga berharap dirimu Ya Rasulullah, masih sudi menerima kami sebagai umatmu, yang layak untuk tergolong dalam bilangan mereka yang terpilih bagi menerima syafaat dan doamu di akhirat kelak.

Kami yakin dan sedar, sebuah pengharapan tanpa usaha tidak ubah seperti berdoa perolehan rezeki tanpa bekerja. Lalu ia hanya sebuah tawakal dan doa yang palsu.

SEMPENA INGATAN KEPADAMU

Justeru, kami akan terus memasang azam agar di ketika ramai manusia cuba menyambut dan mengenang tarikh kelahiranmu, kami pohonkan doa kepada Tuhan yang maha esa dan berkuasa, Ya Allah, agar kami insan lemah ini, diberi kekuatan jiwa dan hati untuk mendokong risalah perjuangan Nabimu.Teringat kami terhadap panggilanmu terhadap umatmu..umatku, umatku, umatku semasa dikau berada dalam kegeringan. Kini terpulang kepada kami untuk membuktikan panggilan belasmu itu disahut.

Akan kami gali dengan lebih mendalam segala khazanah peninggalannmu Ya Rasulullah, insan terpilih. Moga dengannya kami tahu dan mengerti keutamaan dalam melakar destinasi kehidupan, akhirnya memampukan kami terpilih sebagai insan terpilih untuk memperolehi redha Allah yang amat unggul dan syafaatmu yang khusus bagi mereka yang TERPILIH.

Akan kami berusaha bagi mempersembahkan ratusan malah ribuan bukti bahawa kami adalah Hamba Allah yang bersyukur dan umatmu yang patuh lagi taat, mengerti, memahami tujuan serta matlamat kehidupan kami yang singkat ini.

Kami sedar, mereka yang gagal pasti sangat ramai, yang berjaya juga masih ramai.

Masing-masing berlumba bagi mendapat tempat di sisimu. Justeru, kami akan terus ‘berlari' untuk mengejar sebuah kebaikan yang diiringi rasa ikhlas dan tulus. Moga dengannya, kami terpilih untuk bersamamu.

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad Bin Abdullah Sallallahu alayhi wa alihi wassalam. Sesungguhnya setiap selawat yang dipanjatkan buat Rasulullah, akan dibalas olehnya sebanyak sepuluh kali ganda.Moga kita semua mampu berpuasa sunat di hari kelahirannya juga.

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Tiada ulasan: